>

Wednesday, October 23, 2013

PEMAKANAN SIHAT (PIRAMID MAKANAN)



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua.. 

Alhamdulillah kita masih diberi ruang dan peluang untuk berada di sini.
Pada minggu ini saya ingin berkongsi berkenaan cara pemakanan sihat. Tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan pemakanan sihat?

Sebelum itu, marilah kita sama-sama memahami maksud makanan. Makanan ialah apa-apa jua pepejal dan cecair yang membekalkan tenaga kepada tubuh badan dan mengandungi unsur-unsur nutrient serta mempunyai ciri-ciri dari segi rupa bentuk, warna, tekstur, rasa dan bau. 
Pemakanan bermaksud pengambilan makanan dan fungsi makanan kepada tubuh manusia meliputi jenis dan nutrien bagi proses pertumbuhan, pemulihan serta pengawalan tubuh badan.
Setelah memahami maksud makanan dan pemakanan, mudah untuk kita menjaga pemakanan kita agar kita kekal sihat dan cergas.

Antara cara pemaknan sihat adalah dengan merujuk kepada piramid makanan. Apakah yang dimaksudkan dengan piramid makanan?
Piramid makanan ialah satu carta yang membantu kita untuk merancang pengambilan jenis-jenis makanan dan sukatan makanan yang sesuai untuk kita setiap hari . Piramid Makanan juga digunakan sebagai panduan dalam penyediaan makanan sihat. Pengambilan makanan yang sihat dapat memastikan bahawa tubuh badan dan otak kita dapat menerima semua nutrien yang mencukupi bagi membolehkan ianya berfungsi dengan baik. Pengambilan makanan perlu dipelbagaikan kerana tiada satu makanan yang boleh membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan oleh badan.



                                                            Piramid makanan




ARAS 1

Aras 1 Piramid Makanan mengandungi kumpulan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks, yang merupakan sumber tenaga yang utama. Makanan ini juga membekalkan vitamin, mineral, serat dan sedikit protein. Setiap hidangan makanan daripada kumpulan ini perlu diambil paling banyak. Contoh makanan bagi kumpulan ini adalah nasi, bubur, roti, mi, mihun, biskut, pasta, bijirin sarapan, capati, thosai, ubi keledek, keladi dan kentang.

ARAS 2

Aras 2 Piramid Makanan mengandungi makanan yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat. Makanlah makanan di aras ini dengan banyak, dan pelbagaikan pilihan di dalam setiap hidangan. Contoh makanan bagi kumpulan ini ialah sayur-sayuran hijau dan buah-buahan.

ARAS 3

Daging, ayam, ikan dan kekacang terletak di Aras 3 Piramid Makanan. Makanan ini kaya dengan protein, vitamin B, zat besi, zink dan magnesium. Pilihlah daging rendah lemak dan buang semua lemak yang kelihatan pada daging dan ayam. Sekali sekala tukarkan penggunaan daging dengan kekacang, kerana ianya rendah lemak dan kaya dengan serat. Contoh kekacang adalah kacang soya dan hasilnya seperti tauhu dan tempe, kacang dhal dan kacang merah.

Hasil tenusu juga terletak di Aras 3 Piramid Makanan. Contoh hasil tenusu ialah susu, keju dan dadih. Makanan ini kaya dengan protein, kalsium dan biasanya diperkaya dengan vitamin D. Pilihlah hasil tenusu rendah lemak.

ARAS 4
Lemak, minyak, coklat, gula dan juga makanan yang kaya dengan bahan ini terletak di Aras 4 Piramid. Ini menunjukkan hanya sedikit sahaja makanan daripada kumpulan ini yang perlu dimakan.

Antara contoh hidangan 






Melalui piramid makanan, kita dapat merancang menu yang sihat dalam setiap hidangan sepanjang hari tidak kira sarapan pagi, makan tengah hari mahupun makan malam. Dengan ini kesihatan kita lebih terjaga.

No comments:

Post a Comment